Peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan belum berkuat kuasa susulan Datuk Seri Najib Razak masih belum pulang ke kediamannya, sementara Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah bekas perdana menteri itu ditangguhkan sementara.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan beliau akan melepaskan jawatan sebaik sahaja Najib tiba di rumah untuk menjalani baki hukuman, selaras dengan pendiriannya sebelum ini.
“Kalau malam ini dia jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas denda RM50 juta Najib dalam kes SRC International diselesaikan oleh UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi Jumaat. Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, memaklumkan mahkamah kemudian mengeluarkan perintah bagi pelaksanaan tahanan rumah berdasarkan pengampunan diraja.
Bagaimanapun, pembayaran denda dan pengeluaran perintah berkenaan belum membawa kepada kepulangan Najib ke kediamannya.
Menurut Loke, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa pergerakan Najib keluar dari Penjara Kajang pada hari sama adalah untuk menghadiri pemeriksaan pergigian yang telah dijadualkan.
Dalam perkembangan berasingan, AGC menyatakan pelaksanaan tahanan rumah perlu ditangguhkan sementara bagi meneliti tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perintah pelepasan yang dikeluarkan mahkamah.
Sepanjang tempoh itu, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan.
Antara persoalan yang dibangkitkan AGC ialah sama ada pembayaran denda RM50 juta hanya menyelesaikan hukuman denda, dengan baki hukuman penjara diteruskan melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, atau menyebabkan keseluruhan hukuman kes SRC dianggap selesai.
AGC turut menyatakan tafsiran tersebut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman dalam kes 1MDB, yang diperintahkan bermula selepas hukuman penjara kes SRC selesai. Jabatan itu menegaskan penangguhan berkenaan bertujuan memastikan titah pengampunan dan perintah mahkamah dilaksanakan secara tepat serta teratur.
Persoalannya mengapa sekarang? Bukan September lalu.
Pasukan peguam Najib pula membantah penangguhan itu. Dalam kenyataan pada malam Jumaat, firma Shafee & Co mengesahkan Najib masih berada di Penjara Kajang dan menuntut proses pemindahannya ke tahanan rumah diselesaikan tanpa berlengah.
Firma berkenaan berpandangan semua syarat pengampunan telah dipenuhi dan sebarang persoalan AGC mengenai perintah tersebut perlu dibawa ke mahkamah.
Berdasarkan syarat yang dinyatakan Loke, peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa apabila Najib tiba di kediamannya untuk menjalani tahanan rumah.







